Thursday, 19 April 2012

Polis serah fail 11 suspek kes penggodaman telefon





LONDON: Polis Britain yang menyiasat kes penggodaman telefon syarikat akhbar milik Rupert Murdoch memberi pendakwa raya fail 11 suspek selepas siasatan yang memakan masa lebih setahun berakhir, kata ketua pendakwa raya, semalam.
Empat wartawan, seorang pegawai polis dan enam lagi individu yang tersenarai dalam fail itu kini disemak oleh Perkhidmatan Pendakwa Raya Agung untuk dakwaan, kata Pengarah Pendakwa Raya Awam, Keir Starmer. “Kami sekarang memasuki tahap di mana kami ingin membuat keputusan sama ada untuk mendakwa suspek atau sebaliknya,” katanya.

Kesalahan itu, termasuk salah laku di pejabat awam, melanggar akta perlindungan Britain, memutarbelitkan sistem keadilan, mengancam saksi dan melanggar akta kawalan kuasa penyiasatan.
Pendedahan syarikat akhbar Murdoch, News of the World mengakses secara haram peti pesanan suara pelajar sekolah yang dibunuh, selain puluhan selebriti, ahli politik dan mangsa jenayah memaksanya menutup akhbar tabloid mingguan itu Julai tahun lalu.

Starmer berkata sejumlah 43 orang yang ditahan dalam operasi siasatan penggodaman telefon Scotland Yard, bayaran haram kepada pegawai polis dan kesalahan lain di News of the World masih di bawah ikat jamin. Mereta termasuk bekas jurucakap Perdana Menteri David Cameron, Andy Coulson, bekas pengarang News of the World, Rebekah Brooks dan suaminya seorang pelatih kuda lumba, Charlie Brooks. - AFP

No comments: