Thursday, 19 April 2012

Telefon mudah meletup


MOHAMED SHARIL bertukar dokumen perjanjian dengan   Zainal Abidin di Cyberjaya, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail
MOHAMED SHARIL bertukar dokumen perjanjian dengan Zainal Abidin di Cyberjaya, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail
Produk tak ikut piawaian banjiri pasaran ancam nyawa: SKMM

CYBERJAYA: Pengguna perlu berhati-hati ketika membeli telefon bimbit, komputer riba dan komputer tablet kerana kira-kira 30 peratus daripada peralatan yang dijual di pasaran negara ini tidak memenuhi piawaian keselamatan teknikal antarabangsa serta berbahaya digunakan.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi selepas menerima aduan orang ramai banyak telefon bimbit seludup yang digelar sebagai ‘underwater atau submarine handset’ di kalangan peniaga, tidak menepati piawaian.
Kita berharap kerjasama ini bukan hanya membantu SKMM meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menjual produk telekomunikasi tidak memenuhi piawaian, malah melindungi pengguna terbeli peralatan seludup. - Mohamed Sharil Tarmizi, Pengerusi SKMM
“Jika pengguna membeli produk telekomunikasi seperti telefon yang tidak memenuhi piawaian, anda mungkin terdedah kepada kejadian ia meletup ketika di dalam saku atau ketika digunakan.

“Kita menasihatkan pengguna membeli peralatan yang disahkan selamat dan mempunyai label SKMM bagi menjamin keselamatan diri masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan SIRIM QAS International Sdn Bhd (SIRIM), di sini semalam.

Beliau berkata, SKMM juga bekerjasama dengan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bagi memantau kemasukan produk telekomunikasi yang tidak memenuhi piawaian daripada memasuki pasaran Malaysia menerusi pintu masuk dan pelabuhan utama di seluruh negara.

“Ramai peniaga produk telekomunikasi di Malaysia sudah mematuhi piawaian penjualan produk telekomunikasi, namun masih ada segelintir yang menyeludup masuk barangan itu,” katanya. 
MoU itu membabitkan pemeteraian perkongsian pintar antara SKMM dengan SIRIM bagi memantau penjualan dan mengawal selia pemasaran produk telekomunikasi menerusi penggunaan aplikasi 'Online Centification for Communication & Multimedia' (e-ComM) yang dibangunkan oleh Dagang Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net). 

“Kita berharap kerjasama ini bukan hanya dapat membantu SKMM meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menjual produk telekomunikasi tidak memenuhi piawaian, malah melindungi pengguna daripada terbeli peralatan seludup,” katanya.

Aplikasi e-ComM turut digabungkan dengan Malaysia's National Single Window (NSW) yang dibangunkan oleh Dagang Net, iaitu syarikat dilantik oleh Kementerian Kewangan sebagai pemudahcara perdagangan dan kelulusan KDRM. 

Penggunaan aplikasi e-ComM juga bagi memastikan tanda atau label persijilan SKMM digunakan dengan betul tanpa sebarang unsur penipuan dan pemalsuan serta membantu SKMM menyediakan laporan berkala.

Peluang bersih nama 'Mat Rempit'


DAVID (tiga dari kanan) bersama artis dan beberapa bekas pelumba negara yang memeriahkan pelancaran Rempit United, semalam.
DAVID (tiga dari kanan) bersama artis dan beberapa bekas pelumba negara yang memeriahkan pelancaran Rempit United, semalam.
David terbit dokumentari papar realiti golongan sering undang kontroversi

ENAM tahun lalu, produser kental, David Teo, kecewa apabila tajuk filem terbitannya, Remp-it V3 terpaksa ditukar kepada V3 Samseng Jalanan. Semalam, dia mengaku mula berasa lega apabila perkataan berkenaan tidak lagi dipandang serong, malah sudah pun digunakan untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Rempit United.
Pertubuhan yang sudah mencapai angka keahlian seramai 200,000 orang, daripada persatuan dan kelab bermotor membabitkan golongan berusia antara 16 hingga 30 tahun itu juga menerima sokongan tidak berbelah produser daripada syarikat Metrowealth Pictures terbabit.
Sebelum dokumentari itu dipaparkan, ia perlulah melalui meja perbincangan bersama badan NGO lain, kerajaan dan pihak berkaitan lain bagi mencapai satu kajian yang adil terhadap isu ini. - David Teo
Katanya, persetujuan itu diambil bagi membuktikan kebenaran bahawa tidak semua golongan rempit hanya mengundang gejala negatif.

“Saya melihat penubuhan NGO seperti ini mampu untuk mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap golongan rempit. Dulu, sebelum saya menerbitkan filem Remp-It, semua orang tidak peduli apa itu rempit sehinggalah ia dilahirkan dan mengundang kontroversi.

“Saya membawa artis yang berlakon dalam filem saya seperti Adnan Sempit, bagi menjadi ikon untuk mendekati golongan ini. Tidak semua rempit itu jahat kerana jenayah atau perkara negatif itu dilakukan segelintir pihak saja,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran NGO berkenaan yang mendapat sokongan syarikatnya, di Kuala Lumpur.

Katanya, kerjasama itu juga jelas menunjukkan keberaniannya membuktikan pandangan serong masyarakat terhadap golongan itu tidak tepat sama sekali. 
Susulan kerjasama bersama Rempit United yang diluluskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu, produser ini melahirkan hasrat menerbitkan dokumentari dan drama berasaskan inti pati kisah golongan yang sering disalahertikan itu.

“Antara sumbangan dan program yang akan mewarnai Rempit United ialah kelahiran dokumentari yang memaparkan realiti dan liku hidup yang dilalui golongan ini, termasuklah mereka yang terbabit secara tidak langsung dengan kewujudan mereka, seperti polis.

“Tetapi sebelum dokumentari itu dipaparkan, ia perlulah melalui meja perbincangan bersama badan NGO lain, kerajaan dan pihak berkaitan lain bagi mencapai satu kajian yang adil terhadap isu ini,” katanya sambil memberitahu, dokumentari sejam berkenaan akan disiarkan di stesen televisyen.

Selain itu, barulah ia disusuli penerbitan drama berkisarkan rempit. Ia akan menggunakan pelakon yang sudah berpengalaman membawakan watak golongan itu seperti Shaheizy Sam dan Intan Ladyana.

“Saya sebenarnya sudah lama memendam hasrat untuk melahirkan dokumentari seperti ini dan akhirnya ia akan terlaksana juga. Lagipun, realiti yang dipaparkan dalam dokumentari itu dapat menjelaskan sudut pandang semua pihak,” katanya.

Antara artis yang akan menyertai kempen permulaan yang akan dilaksanakan di Kuala Terengganu sekitar Jun ini ialah Zizan Razak, Sam, Intan, Sari Yanti, Nora Danish dan Ilia Iryani.

“Saya menggalakkan artis di bawah Metrowealth untuk menyertai kempen ini dan sebagai tanda sokongan, artis ini akan hadir memberikan kata semangat dan motivasi kepada golongan rempit untuk membuktikan siapa mereka sebenarnya, serta menangkis pandangan buruk terhadap mereka selama ini,” katanya.
Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Presiden Rempit United, Wazi Abdul Hamid, serta pelumba veteran negara, M Meganathan.

Facebook antara punca kes rogol

KUANTAN: Pengaruh laman sosial termasuk Facebook dikenal pasti antara medium yang menyumbang kepada masalah sosial dan pelakuan jenayah di kalangan pelajar sekolah terutama membabitkan kes rogol.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata walaupun jenayah rogol membabitkan pelajar di negara ini menunjukkan penurunan iaitu 133 kes pada tahun lalu, berbanding 222 kes sebelumnya namun jenayah terbabit masih tetap membimbangkan.

“Apabila kebebasan tanpa kawalan diberikan kepada anak, akses kepada laman sosial tanpa dipantau penjaga atau ibu bapa sememangnya boleh menjurus kepada masalah gejala sosial.
Apabila kebebasan tanpa kawalan diberikan kepada anak, akses kepada laman sosial tanpa dipantau penjaga atau ibu bapa sememangnya boleh menjurus kepada masalah gejala sosial. - Tan Sri Lee Lam Thye, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)
“Masalah ini belum nampak cara penyelesaian yang holistik, justeru perbincangan lanjut perlu dilakukan antara semua pihak termasuk ibu bapa bagi mengawal dan memantau aktiviti sosial anak-anak mereka,” katanya selepas Majlis Dialog MCPF bersama Guru Kelab Pencegahan Jenayah dan ketua jabatan kerajaan, di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd Ghani.

Lee yang juga Ahli Lembaga Pengarah Media Prima Berhad berkata, statistik pelakuan jenayah di kalangan pelajar sekolah bagaimanapun menunjukkan penurunan iaitu 1,512 kes sepanjang tahun lalu atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan indeks jenayah berbanding 1,862 kes pada 2010.

Polis serah fail 11 suspek kes penggodaman telefon





LONDON: Polis Britain yang menyiasat kes penggodaman telefon syarikat akhbar milik Rupert Murdoch memberi pendakwa raya fail 11 suspek selepas siasatan yang memakan masa lebih setahun berakhir, kata ketua pendakwa raya, semalam.
Empat wartawan, seorang pegawai polis dan enam lagi individu yang tersenarai dalam fail itu kini disemak oleh Perkhidmatan Pendakwa Raya Agung untuk dakwaan, kata Pengarah Pendakwa Raya Awam, Keir Starmer. “Kami sekarang memasuki tahap di mana kami ingin membuat keputusan sama ada untuk mendakwa suspek atau sebaliknya,” katanya.

Kesalahan itu, termasuk salah laku di pejabat awam, melanggar akta perlindungan Britain, memutarbelitkan sistem keadilan, mengancam saksi dan melanggar akta kawalan kuasa penyiasatan.
Pendedahan syarikat akhbar Murdoch, News of the World mengakses secara haram peti pesanan suara pelajar sekolah yang dibunuh, selain puluhan selebriti, ahli politik dan mangsa jenayah memaksanya menutup akhbar tabloid mingguan itu Julai tahun lalu.

Starmer berkata sejumlah 43 orang yang ditahan dalam operasi siasatan penggodaman telefon Scotland Yard, bayaran haram kepada pegawai polis dan kesalahan lain di News of the World masih di bawah ikat jamin. Mereta termasuk bekas jurucakap Perdana Menteri David Cameron, Andy Coulson, bekas pengarang News of the World, Rebekah Brooks dan suaminya seorang pelatih kuda lumba, Charlie Brooks. - AFP

Harimau Muda A intai tiga mata





KAPTEN Harimau Muda A, Mahali Jasuli mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak keciciran mata apabila menentang Balestier Khalsa, esok jika mahu terus memberi tekanan kepada pendahulu Liga Singapura (Liga-S), Brunei DPMM FC.
Jika berjaya meraih tiga mata penuh pada aksi di Stadium Toa Payoh itu, Harimau Muda A boleh memintas Balestier Khalsa yang kini menduduki tangga kedua dengan 18 mata, satu mata mengatasi barisan muda kendalian Ong Kim Swee.

Kedudukan Brunei DPMM juga boleh tergugat andai tewas buat kali pertama musim ini kepada Home United di Stadium Jalan Besar, esok kerana mereka kini hanya mengumpul 20 mata selepas 8 perlawanan.
“Balestier antara pasukan hebat dalam Liga Singapura tapi kami akan cuba memberi tentangan sengit kerana ini peluang terbaik memintas mereka dalam kedudukan liga.

“Kemenangan juga penting kerana kami tidak mahu jurang mata dengan pendahulu (Brunei DPMM) semakin jauh,” kata Mahali yang pulih daripada kecederaan pergelangan kaki kiri ketika beraksi bersama skuad Olimpik negara menentang Jepun pada 22 Februari lalu.

Mahali yang hanya beraksi 20 minit terakhir ketika menang 2-1 ke atas Woodlands Wellington, Ahad lalu berharap mendapat kepercayaan semula Kim Swee untuk membarisi skuad utama di posisi pertahanan kanan.

PTPTN: PKR kecam samseng serang aktivis


Serang aktivis, polis tahan seorang lelaki













SHAH ALAM - PKR Wilayah Persekutuan mengecam tindakan ganas samseng jalanan terhadap aktivis-aktivis mahasiswa, yang menyertai kempen menuntut agar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan, di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Dr Idris Ahmad berkata, tindakan tidak bertanggungjawab ini menimbulkan keresahan bukan sahaja kepada mereka yang menyertai ‘Occupy Dataran’, tetapi juga penduduk Kuala Lumpur yang cintakan demokrasi dan keamanan.
“Kami menggesa pihak polis melakukan siasatan menyeluruh terhadap kejadian ini dan menangkap mereka yang telah mengatur serta bertindak ganas dalam kejadian ini, seterusnya membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.
“Kami juga berharap pihak polis akan berusaha dengan kerjasama semua pihak untuk memastikan yang kejadian sebegini tidak berulang,” katabeliau dalam satu kenyataanmedia, hari ini.
Dalam kejadian awal pagi itu, 40 orang aktivis terbabit didakwa diserang 60 gengster ketika sedang berkhemah sempena kempen menuntut pemansuhan pinjaman PTPTN.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhammad Safwan Anang ketika dihubungi awal pagitadi mengesahkan mereka diserang dan beberapa aktivis dimasukkan ke hospital.
"Ya, kami semua, tidak tahu siapa (mereka) dan mereka merobohkan semua khemah kami. Kami disepak, diterajang, ditumbuk dan dihalau dari Dataran. Tapi kami masih tetap di sini. Seorang sedang dapat rawatan kecederaan telah dihantar ke Hospital KL.
"Yang cedera ringan dalam lima orang sebab dipukul. Seorang dibawa ke hospital," katanya lagi.
Dr Idris mendakwa, wang kutipan derma peserta Occupy Dataran telah diambil oleh samseng-samseng ini dan turut mengakibatkan kerosakan kepada harta persendirian seperti kamera serta alat-alat elektronik lain.
Tambah Dr Idris, biarpun berbeza pendapat, tetapi jangan sesekali menggunakan kekerasan dan taktik samseng untuk menentang pendapat pihak yang lain. 
Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Cabang PKR Segambut menyeru agar semua rakyat Malaysia khususnya penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menolak Politik Samseng.

Separuh akhir Liga Juara: Chelsea atasi Barcelona 1-0


Didier Drogba meraikan jaringan kemenangan Chelsea yang bertemu dengan Barcelona di  Stamford Bridge










CHELSEA mendahului persaingan peringkat separuh akhir kejohanan Liga Juara-juara dengan mengatasi Barcelona 1-0 menerusi jaringan Didier Drogba pada pusingan pertama yang berlangsung di Stamford Bridge, London semalam (awal pagi waktu Malaysia).
Jaringan  Drogba pada minit terakhir separuh masa pertama memberi kelebihan kepada kelab bimbingan Roberto di Matteo itu, yang akan beraksi di Barcelona, Selasa depan pada pusingan kedua separuh akhir.
Susulan perkembangan itu, jurulatih Barcelona, Pep Guardiola berkata, Chelsea kini menjadi pilihan untuk mara ke final kejohanan kali ini.
"Saya boleh katakan pilihan sekarang adalah Chelsea, sebab menang 1-0 di tempat sendiri adalah keputusan yang baik," kata  Guardiola.
Bagaimanapun Roberto di Matteo berpandangan bahawa persaingan masih di tahap seimbang bagi kedua-dua pasukan.
"Saya tidak fikir (kemenangan ini) menjadikan kami (pasukan) pilihan," kata di Matteo.
"Ia (peluang) 50:50 bagi kedua-dua pasukan untuk melangkah ke depan," katanya lagi.