Sunday, 8 April 2012

Pemain letih - Ahmad Said


Image © Arena.my 
Penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee tewas enam kali ketika bertemu Selangor malam tadi. Gambar hiasan membabitkan perlawanan dengan Kedah dalam aksi suku akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Aman pada 16 Oktober 2010. (gambar arkib)

KUALA TERENGGANU, (Bernama) - Faktor keletihan dan jadual perlawanan yang rapat antara faktor utama yang menyebabkan Terengganu dibelasah 1-6 oleh Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya malam tadi.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata pemain Terengganu dilihat berada dalam keadaan letih kerana terpaksa mengharungi beberapa perlawanan dalam masa yang singkat.

"Bayangkan, lepas mengharungi Piala AFC menentang Tampines Rovers di Singapura, balik kena main pula dalam Liga Super, kadang-kadang rehat dalam masa dua hari atau satu hari sahaja.

"Selain itu, terlalu banyak perlawanan juga boleh menyebabkan pemain jemu dan hilang fokus," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perlawanan tersebut, pada majlis pengagihan e-Book kepada 810 pelajar Tahun Empat di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahmad berkata kelemahan skuad kendalian Mat Zan Mat Aris yang ketara ialah di sebelah pintu gawang Terengganu.

"Kelemahan lain Terengganu yang saya lihat adalah tidak ramai pemain yang boleh menjaringkan gol sebaliknya hanya bergantung kepada pemain import Forkey Doe semata-mata," katanya.

Sebaliknya beliau berkata pemain import kelahiran Liberia itu tidak mempamerkan aksi yang baik dan gagal mengawal bola mungkin kerana tidak pernah bermain di padang yang becak seperti malam tadi.    

Ahmad merasa bimbang dengan prestasi Terengganu yang diharap mampu mengekalkan Piala FA untuk tahun kedua berturut-turut.

No comments: